Raket, Tenis, Terbaru

David Ferrer Azam Teruskan Rentak Cemerlang

David Ferrer Berada Dalam Prestasi Terbaik

 

Pilihan Utama, David Ferrer bertekad meneruskan pencapaian cemerlangnya tahun ini dengan menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia, Kuala Lumpur 2012 selepas gagal melakukannya pada tahun 2009 dan 2010.

Ferrer yang baru sahaja selesai membantu Sepanyol melayakkan diri ke final Piala Davis 2012 sebelum ini terkandas pada pusingan suku akhir pada 2009 dan pusingan 32 terbaik pada 2010. Namun berdasarkan prestasi cemerlangnya setakat ini dengan berjaya melayakkan diri ke separuh akhir US Open dan French Open 2012, pemain ranking ke-5 dunia ini dilihat mampu menamatkan badinya di Kuala Lumpur.

“Ini tahun terbaik saya. Walaupun baru selesai perlawanan Piala Davis, tahap kecergasan saya kekal berada di prestasi terbaik. Saya cuma perlu fokus dan beri persembahan terbaik untuk kejohanan ini” tambah Ferrer dalam satu temubual di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur.

Ketika ditanya mengenai saingan beliau dalam kejohanan ini, Ferrer mengakui ramai pemain hebat akan memberikan cabaran sengit buat dirinya kali ini.

“Ramai pemain hebat beraksi untuk edisi kali ini dan saya jangkakan kesemuanya bakal menjadi cabaran terbesar saya. Namun saya akui Feliciano Lopez dan Kei Nishikori mampu membuat kejutan nanti” ujar Ferrer yang juga merupakan peminat pasukan bolasepak Valencia.

Ferrer akan menunggu lawannya iaitu pemenang pertemuan antara Dominic Inglot dan Alex Bogomolov Jr di pusingan 16 terbaik nanti.

 

About the Author

Dunia Sukan Journalis