Terbaru

Hadiah Bosko Sebelum Balik Kampung

Bosko Balaban muncul wira Gergasi Merah apabila menyumbat dua gol membolehkan pasukannya menewaskan Johor FC 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi. Walaubagaimanapun, Selangor terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk merobek gawang Sang Lebah.

Dalam aksi babak pertama, Selangor tidak memanfaatkan penguasaan padang yang dimiliki mereka apabila kerap kali gagal menghasilkan jaringan walaupun memiliki peluang hasil beberapa gerakan daripada kapten, Amri Yahya serta Solihin Kanasian dan Safiq Rahim.

Kecederaan penjaga gol utama Johor FC, Anis Faron pada minit ke-48 menjadi punca utama kecundangnya barisan anak didik Azmi Mohamed ini apabila penggantinya, Zamir Selamat akhirnya melepaskan gol pertama buat tuan rumah lapan minit kemudian hasil jaringan Bosko Balaban.

Pada minit ke-86, Bosko sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring apabila menanduk kemas hasil sepakan penjuru yang diambil pemain tengah, Safiq Rahim untuk jaringan kedua tuan rumah dan membolehkan Selangor memperolehi tiga mata berharga di laman sendiri.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menyatakan yang pasukannya sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar namun tetap berpuas hati apabila memperolehi dua jaringan menerusi penyerang import mereka, Bosko Balaban.

“Saya nampak kita ada empat atau lima peluang dan dua dari peluang itu Basko telah jaringkan gol. Dan ia adalah satu hadiah untuk dia (Basko) sebelum balik ke Croatia untuk melihat anaknya esok,” ujar Irfan sambil memaklumkan Selangor bakal menentang Sri Lanka pada 30 April nanti.

Sementara itu, Lions XII kekal menerajui takhta Liga Super apabila menang besar 5-0 ke atas PKNS FC di Stadium Jalan Besar, Singapura hasil dua jaringan Agu Casmir dan masing-masing satu menerusi Shaiful Esah, Sevki Sha’ban serta Safuwan Bahrudin. Kelantan kekal di kedudukan kedua dengan 31 mata, lima mata di belakang Lions XII selepas menewaskan T-Team 2-1 di gelanggang lawan.

Keputusan Penuh:

Lions XII 5-0 PKNS
Sarawak 0-2 Kedah
Felda United 1-0 Kuala Lumpur
Negeri Sembilan 1-1 Terengganu
T-Team 1-2 Kelantan
Perak 2-2 Sabah
Selangor 2-0 Johor FC

About the Author