Antarabangsa, Bola Sepak, Piala AFF Suzuki 2012, Skuad Malaysia, Terbaru

Harimau Dibaham Singa!

Shahril Ishak menghukum kesilapan benteng Malaysia

 

Malaysia memulakan langkah kiri dalam saingan Piala AFF 2012 selepas mudah dijinakkan Singapura 0-3 dalam perlawanan pertama kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyempurnakan peluang pada awal permainan menerusi percubaan Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya melepas 3 pertahanan lawan.

Matyo gagal jaringkan gol

 

Segala-galanya berubah pada minit ke-32 selepas Shahril Ishak menyempurnakan hantaran lintang Baihaki Khaizan yang gagal dikekang pertahanan negara. 5 minit kemudian, Shahril sekali lagi menambah luka Malaysia hasil kesilapan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menampan bola keluar.

Harimau Malaya cuba bangkit pada babak kedua namun sebaliknya yang terjadi apabila Singapura menambah satu lagi jaringan menerusi pemain gantian, Alexander Duric pada minit ke-75 sekaligus menutup terus peluang Malaysia untuk bangkit sekurang-kurangnya memperoleh satu mata.

Benteng Malaysia terlalu rapuh

 

Kekalahan 0-3 ini jelas menambahkan lagi tekanan kepada jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal ekoran prestasi hambar pasukan yang ditunjukkan sejak kebelakangan ini.Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan tidak dapat meneymbunyikan kekecewaan yang dialami pasukannya.

“Kalah dengan jaringan 0-3 memang satu yang cukup mengecewakan. Selepas ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama, kami cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan. Namun pertahanan kita begitu rapuh sehingga memberi peluang lawan untuk menambah jaringan

Rajagobal bagaimanapun berjanji untuk bangkit 2 perlawanan seterusnya demi menghidupkan kembali peluang ke separuh akhir nanti.

“Kita tiada pilihan lain. Dua perlawanan seterusnya wajib untuk dimenangi” kata Rajagobal.

Bagi jurulatih Singapura, Rado Avramovic pula, dia memuji persembahan menakjubkan anak buahnya yang bekerja keras sepanjang latihan pra-kejohanan sehingga pada perlawanan pertama ini.

“Saya tidak mahu pemain leka dengan kemenangan besar ini. Kita perlu kembali fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Indonesia” jelas Avramovic yang membawa Singapura menjuarai Piala AFF sebanyak 2 kali iaitu pada 2004 dan 2007.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, Indonesia sekadar seri 1-1 dengan Laos. Selepas ini Malaysia akan bertemu Laos pada Rabu sementara Singapura menentang Indonesia.

 

About the Author

Dunia Sukan Journalis