launch Mencari Ramli 4

Rancangan TV realiti pencarian bakat bola sepak oleh TM yang paling dinantikan kembali bagi musim keempat dengan perubahan menarik….

Rancangan televisyen pencarian bakat bola sepak Telekom Malaysia Berhad (TM) kini memasuki musim keempat (4) namun pencariannya kini beralih daripada mencari seorang pemain bola sepak terbaik kepada pasukan bola sepak yang terbaik!

Setelah mencapai kejayaan cemerlang dalam tiga musim Mencari Ramli yang terdahulu, rancangan televisyen pencarian bakat bola sepak yang dinantikan ini akan menjadikan impian sebuah pasukan yang dianggotai 12 orang pemain untuk menjadi pemain bola sepak profesional satu kenyataan!

Musim terbaharu – Mencari Ramli ‘4’ (MR4) – telah diumumkan oleh Izlyn Ramli, Naib Presiden, Jenama dan Komunikasi Kumpulan, TM. Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah wakil daripada rakan-rakan usahasama program, Lazarus Jansen Xavier,  Penolong Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Hajah Zaiton Othman, Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), dan Datuk Marina Chin, Pengarah, Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan.

Mengulas mengenai musim terbaharu program tersebut, Izlyn berkata, “Dengan perubahan terbaharu ini, kami berharap musim kali ini dapat menarik minat ribuan bakat-bakat muda bola sepak dari seluruh negara untuk menunjukkan kemahiran mereka dan merebut peluang sekali seumur hidup ini untuk mendapat tempat di Manchester United Soccer School (MUSS) apabila sesi pencarian bakat bermula Januari 2015 nanti. Perubahan ini juga menggambarkan komitmen kami untuk terus mempertingkatkan standard program ini setiap musim, selari dengan penglibatan TM dalam pembangunan sukan negara.”

”MR4 akan memperlihatkan sekali lagi kerjasama erat di antara TM dan FAM, Kementerian Pendidikan, MSN dan MUFC sebagai rakan usahasama program. Mereka akan membawa kemahiran teknikal mereka ke dalam program ini bagi memastikan para peserta menepati tahap yang dikehendaki. Peserta akan menjalani kehidupan yang ’segalanya bola’, dan melalui apa yang dialami oleh pemain bola sepak profesional. Ia pastinya bukan sesuatu yang mudah! Hanya 12 orang peserta akan berjaya mendapat tempat di MUSS dan setiap minggu dalam sesi latihan, mereka akan diuji dan peserta yang tidak berjaya akan dihantar pulang. Jadi mereka perlu berada pada tahap terbaik,” tambah beliau.

Dengan kolaborasi bersama pelbagai pihak, seperti MSN, FAM malah MUFC, TM menerusi inisiatif TM Team Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sukan negara, termasuklah bola sepak kerana ianya merupakan salah satu sukan utama dan paling mendapat perhatian rakyat Malaysia. Pendekatan kami berbentuk holistik. Ini boleh dilihat pada usaha-usaha kami untuk mencungkil bakat-bakat bola sepak masa depan di peringkat akar umbi dengan program-program seperti ‘Mencari Ramli’. TM juga merupakan Penaja Utama pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya dan menerusi TM Team Malaysia, kami telah menghimpunkan sokongan rakyat Malaysia untuk berada di belakang pasukan kebangsaan dan menyemarakkan semangat mereka bagi mencapai kecemerlangan. Dengan usahasama itu, kami mampu menyediakan peluang untuk bakat-bakat bola sepak baru dalam Mencari Ramli untuk berlatih bersama-sama jurulatih profesional dari FAM. Kami juga berkolaborasi dengan Manchester United untuk mempertingkatkan prestasi bakat-bakat bola sepak kami menerusi perkongsian teknik dan kemahiran dengan membawa para jurulatih mereka ke Malaysia. Manchester United merupakan jenama bola sepak terkenal di dunia, dan kami seharusnya mencontohi pemikiran juara yang mereka miliki sebagai tanda aras, menepati kedudukan kami sebagai Peneraju Jalur Lebar di Malaysia,” beliau menjelaskan lanjut.

Pengalaman pelbagai skrin

Berikutan sambutan memberangsangkan yang telah diterima bagi siri Mencari Ramli pada tahun-tahun sebelum ini, peminat kini buat pertama kalinya, berpeluang menikmati  pengalaman MR4 di pelbagai skrin (televisyen, komputer riba, tablet, telefon pintar) dan di pelbagai platform.

HyppTV akan menayangkan aksi lanjutan dan di belakang tabir, manakala di platform online akan menampilkan kandungan eksklusif tambahan. Para peminat berpeluang mendapatkan lebih banyak kandungan menerusi laman-laman sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram termasuklah laman web program ini.

Misi pencarian

Seperti musim terdahulu, TM akan menjelajah ke seluruh negara bagi memberi peluang bakat-bakat muda untuk menjadi ‘Ramli’ serta memenuhi impian mereka. Rancangan realiti ini merupakan platform sama rata yang akan menyenarai pendek 36 bakat muda bagi bersaing untuk dimasukkan ke dalam pasukan ‘Ramli’.

Sesi ‘pencarian bakat’ akan diadakan di 16 buah lokasi berbeza di seluruh negara bermula Januari 2015, seperti berikut:

1. SMK Tunku Abdul Rahman, Alor Setar, Kedah

2. SMK Bukit Jambul, Gelugor, Pulau Pinang

3. Kolej Latihan Telekom, Taiping, Perak

4. Padang Bandaran, Teluk Intan, Perak

5. SMK Sungai Besar, Sungai Besar, Selangor

6. SMK Tinggi Kajang, Kajang, Selangor

7. SMK King George V, Seremban, Negeri Sembilan

8. Stadium Hang Tuah, Melaka

9. Padang Sri Gelam, Johor Bahru, Johor

10. SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang

11. SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu

12. SMK Putera, Kelantan

13. SMK St Joseph, Kuching, Sarawak

14. SMK Kampung Nangka, Sibu, Sarawak

15. Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah

16. SMK Tawau, Tawau, Sabah

 

*tarikh dan masa sebenar akan diumumkan kemudian

Selain lokasi-lokasi sesi pencarian bakat, ia turut menampilkan penambahan jumlah pemenang! MR4 menyaksikan pasukan yang berjaya terdiri daripada 12 orang pemain daripada kumpulan bawah 14 tahun atau bawah 16 tahun akan ditentukan menerusi siri cabaran dan perlawanan.

Pasukan yang berjaya akan mengambil bahagian dalam kem bola sepak selama lima hari di Manchester United Soccer School (MUSS) yang terkenal dan berpeluang untuk menyaksikan pasukan Manchester United beraksi di Old Trafford, semua ini direalisasikan melalui perjanjian sedia ada antara TM dan Manchester United, di mana TM merupakan rakan kongsi Telekomunikasi Bersepadu Rasmi Manchester United di Malaysia.

Pemenang juga akan dibawa untuk menikmati pengalaman dilayani sebagai VIP, di mana mereka akan mengalami SEMUA yang dilalui oleh pemain Manchester United pada sesuatu hari perlawanan; makan di restoran mereka, menginap di hotel mereka, serta berpeluang bersemuka dengan para pemain kesebelasan utama dan banyak lagi!

Jadi, jika anda mempunyai kemahiran seperti Adnan Januzaj, Robin van Persie atau Angel Di Maria, dan jika anda berusia antara 13 – 16 tahun, jangan lepaskan sesi-sesi uji bakat berhampiran anda dan serlahkan bakat yang anda miliki!

Inisiatif ini adalah satu lagi usaha TM melalui kempen Team Malaysia untuk menjulang martabat negara melalui sukan dan menyemarakkan lagi semangat atlet-atlet negara dalam usaha mereka mencapai kecemerlangan dan meletakkan nama Malaysia di peta sukan dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Mencari Ramli 4, layari www.tm.com.my/mr4 atau ‘Like’ laman Facebook Team Malaysia www.facebook.com/TeamMalaysia.

Comments

comments

SHARE

NO COMMENTS