Ragbi, Terbaru

Trofi N.J Ryan Jadi Rebutan 24 Pasukan Pada Kejohanan MCKK 7′s

Barisan penaja  dan penganjur MCKK 7's bergambar bersama semasa sesi sidang media kejohanan di Bangunan MCOBA.

Barisan penaja dan penganjur MCKK 7′s bergambar bersama semasa sesi sidang media kejohanan di Bangunan MCOBA.

 

Sukan rugbi sememangnya tidak asing lagi di Malaysia dengan pembangunan terancang diperingkat akar umbi telah dilakukan menerusi penganjuran kejohanan-kejohanan berprestij diperingkat sekolah.

Salah satu kejohanan peringkat sekolah yang terunggul pastinya MCKK 7′s Premier anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) yang bakal berlangsung pada 22-24 Februari ini di padang MCKK.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran kejohanan, Mohd Zain Yusof, matlamat utama kejohanan ini diadakan ialah untuk meningkatkan lagi mutu sukan rugbi tempatan lebih-lebih lagi diperingkat remaja.

“Tahun demi tahun, kejohanan ini semakin berkembang dan mendapat perhatian ramai pihak.

“Kami mengucapkan jutaan terimakasih kepada semua pihak termasuk para penaja dan rakan-rakan media yang berjaya membantu menaikkan nama kejohanan ini sebagai antara kejohanan ragbi peringkat bawah umur yang berprestij di Malaysia” kata Zain.

Edisi kali ketiga ini menyaksikan Telekom Malaysia Berhad (TM) menjadi penaja utama kejohanan bawah 17 tahun ini sambil beberapa penaja lain turut mengambil bahagian seperti Kementerian Pelancongan Malaysia, Scomi Berhad, UEM Group, Agro Bank dan banyak lagi.

Dengan menggunakan format 7 sebelah, 24 pasukan termasuk dari Malaysia, Thailand, Singapura, BruneiĀ  dan Hong Kong akan dibahagikan kepada 6 kumpulan diperingkat awal sebelum pertandingan memasuki peringkat seterusnya yang akan dibahagikan mengikut kategori iaitu cup, plate, bowl dan shield.

Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pasti menjadi tumpuan dengan status mereka sebagai juara bertahan 2 kali berturut-turut. Selain itu, beberapa pasukan lain juga dilihat mampu menjulang kejuaraan seperti SM Sultan Yahya Petra 1, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan sudah semestinya tuan rumah, MCKK yang mahu mengembalikan zaman kegemilangan ragbi mereka.

Pasukan-pasukan luar yang bertanding pula adalah Jerudong International School dari Brunei, Australian International School (Singapura), Vajiravudh College (Thailand) dan Hong Kong Sports School (Hong Kong).

Juara kategori cup akan menjulang trofi utama kejohanan iaitu trofi N.J Ryan bersempena nama bekas pengetua yang juga pengetua dari luar Malaysia terakhir sekolah tersebut; Dato’ N.J Ryan dimana individu inilah yang menjadikan MCKK selaku antara pasukan terkuat dalam sukan rugbi satu masa dahulu.

 

About the Author

Dunia Sukan Journalis