Basikal, IPT, Lain-lain, Terbaru

UKM Anjur KASIH 2

KASIH 2

 

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini mengangkat sukan ke perspektif yang baru dengan menjadikan sukan sebagai satu medium untuk berdakwah melalui penganjuran acara Kayuhan Amal dan Sihat (KASIH 2) yang akan diadakan pada 5 Januari ini.

Seramai 200 peserta akan mengambil bahagian dalam kayuhan yang memakan jarak sebanyak 25 kilometer di mana para peserta akan mengayuh basikal dari UKM Bangi hingga ke Putrajaya sebelum berpatah balik ke UKM.

Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof.Dr.Ir Othman bin A.Karim, acara ini turut akan menyemai sikap berinteraksi antara pelajar UKM dengan masyarakat setempat.

“Program ini membuktikan dakwah boleh dilakukan menerusi penganjuran sukan dan bukannya ceramah semata-mata. Penganjuran KASIH 2 ini juga memupuk lagi semangat bermasyarakat antara UKM dan juga masyarakat Bangi ini sendiri”

“Segala sumbangan yang dikutip melalui KASIH 2 ini akan kita serahkan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Kausar, Bangi” kata Othman pada majlis sidang media dan penyerahaan tajaan program yang bertempat di Restoran Perantau, Sg.Merab.

Dalam pada itu, program KASIH 2 yang dianjurkan mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (FPI) Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ) ini turut menjadi medium promosi awal untuk acara UKM Jamboree 2013 nanti.

UKM Jamboree 2013 yang akan berlangsung sempena Pesta Konvokesyen UKM dijangka bakal menghimpunkan lebih 800 peserta dengan laluan menarik yang terletak di dalam hutan simpan UKM ini akan menjadi lokasi utama acara tersebut.

About the Author

Dunia Sukan Journalis